Wednesday, 22 November 2017

Rezeki kahwin

“Kau abis berapa ribu kahwin haritu Nan?” tanya Zul. Dia bertanya dengan wajah penuh minat.   “Banyak juga Zul. Tapi banyaknya mak ayah tolong. Memang sejak dari tahun lepas aku tanya mak ayah aku kalau diorang boleh ‘sponsor’ sikit kalau aku nak kahwin tahun depan. Diorang okay je,” jawab saya santai.   Zul mengangguk sambil tangannya bermain-main sebatang pen biru.   “Jom gerak pi solat. Kot dapat tido kejap lagi baik.” Saya mengajak. Jam menunjukkan pukul 1.05 petang.   Tatkala kami meluncur perlahan menuju ke masjid, Zul bertanya lagi. Kali ini lebih mendalam.   “Macam mana kau simpan duit untuk kawin?”   “Kenapa? Kau plan nak kawin bila?” Sengaja saya menyoal kembali. Ini masanya mengorek rahsia. Hati saya ketawa.   “Kau dah ada orang belum?” Saya menambah soalan.   “Aku belum ada orang lagi. Aku nak ada cukup duit baru aku nak fikir pasal kawin. Baru fikir nak cari orang,” jawab Zul serius. Daun-daun pokok di hadapan masjid di Taman Pertama itu berguguran, berbuai ditiup angin. Perlahan. Lalu jatuh menghiasi kereta Proton Wira tua berwarna hijau muda.   “Aku nak share sikit tips yang aku dapat daripada senior aku masa aku belajar dekat Manchester dulu. Tips macam mana nak kahwin awal.” Saya mengucapkannya sambil mengukir senyuman.   “Apa dia?” Zul tersengih.

“Silap orang muda-muda ialah kita fikir duit dulu baru fikir kahwin. Sedangkan yang sebetulnya, plan kahwin dulu baru fikir duit.” Saya bermain kata-kata.

“Maksudnya?”   “Maksudnya. Carilah orangnya dulu. Lepas dah setuju, plan tunang, plan bila nak kahwin.” Nasihat saya sambil berwajah serius.   “Masa aku kat Manchester, senior aku belum grad, tapi dia dah dapat tawaran kerja Gamuda. Bakal isteri dia dah dapat Exxon Mobil.” Saya kongsikan padanya cerita sambil ingatan melayang jauh mengenangkan kisah 4 tahun lalu.   “Kata senior aku, rancang dulu bila nak kahwin, nanti Allah akan permudahkan jalan.” Ucapan senior saya di Manchester dahulu terngiang-ngiang di cuping telinga saya. Waktu itu saya di tahun 2 universiti.   “Hmmm…” Zul asyik mendengar saya bercerita. Rambutnya yang panjang diusap-usap berulang kali.   “Masa aku kat U** S******, aku pun termenung juga bilalah aku nak cukup duit nak kahwin. Dengan gaji bawah 3K di KL, nasib baik duduk dengan mak ayah. Kalau tak lagi tak dapat menyimpan.” Saya menyambung cerita.   “Tapi waktu aku tengah sakit kepala pikir pasal duit, aku bincang juga dengan bakal isteri aku pasal tarikh kahwin. Kejap tahun depan, kejap 2 tahun depan. Asyik berubah. Aku sendiri asyik main aplikasi excel di laptop. Cuba juga buat bajet untuk cukup kahwin tahun depan. Akhirnya, kami nekad, tahun 2016 kami nak kahwin.”   “Lepas tu apa jadi?” tanya Zul pendek.   “Aku dapat offer kerja MRT. Aku berhenti kerja lama aku. Gaji dapatlah lebih sikit kat tempat kerja baru. Alhamdulillah.” Suasana sunyi. Hanya bunyi enjin kereta dan aircond yang kedengaran.

Rezeki Orang Nak Kahwin

“Masa lagi 2 bulan aku nak nikah, aku pening kepala sebab dalam akaun tak cukup lagi duit hantaran. Ikut kira-kira aku, malam 27hb May tu, gaji bulan May masuk baru cukup duit hantaran untuk nikah esok paginya.” Saya bercerita penuh drama.   “Fuh. Pastu camna?” Zul menyoal.   “Tengah aku runsing. Bulan April masuk gaji. Aku buka akaun bank aku. Tup tup. Cukup duit untuk buat hantaran. Aku terkejut. Mana datang duit banyak ni?”   “Esoknya dapat notis e-mel. Semua staff mulai bulan ini dapat elaun untuk kenderaan. Alhamdulilahhhh…. Terus hilang kerisauan aku tak cukup duit nak nikah bulan May.” Senyuman terukir di wajah saya. Ia memori yang menambah rasa syukur dan percaya pada rezeki orang yang mahu berumah tangga.     Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. An Nur ayat 32   Segala puji hanya milik Allah. Alhamdulillah.   Semoga kisah ini menjadi penguat semangat bagi mereka yang sedang berhempas pulas mengumpul duit untuk berkahwin di luar sana.

Jika kau mempunyai pilihan hati, kahwinlah secepat mungkin. Paling baik, tahun ini. Jangan bertangguh sampai 5, 6 tahun. Memang itu adalah angan-angan saja. Tiada nas dari Al-Quran atau hadis, tetapi berdasarkan pengalaman. Semakin lama couple, semakin banyak masalah yang timbul. Hati pun semakin tak tenang dan amal pun semakin kurang… 

No comments:

Post a Comment