Keluarga Proton Wira ialah kereta yang paling popular sepanjang pengeluarannya yang bermula pada tahun 1993. Proton Wira dihasilkan untuk memastikan Proton terus berdaya-saing dari segi teknologi.
Ini kerana kereta-kereta sedan keluarga ketika itu seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Nissan Sentra hadir dengan pelbagai teknologi moden yang menarik. Antaranya enjin berbilang injap, sistem suntikan bahan api elektronik dan sistem gantungan jenis bebas. Hampir semua ciri tersebut tidak boleh didapati pada model Proton Iswara ketika itu.
Wira juga ialah kereta pertama Proton yang hadir di dalam satu ‘keluarga’. Kereta yang berkongsi casis sama untuk pelbagai jenis reka bentuk badan dan pilihan enjin.
Berdasarkan model Mitsubishi Lancer generasi keempat, Wira hadir dengan hampir semua pilihan bentuk badan yang ditawarkan oleh kembarnya itu seperti sedan, hatchback, aeroback dan coupe (wagon je yang tak buat).
Pada tahun 2002, Proton mengejutkan orang ramai apabila mereka melancarkan model versi pikap yang dinamakan Arena – satu jenis bentuk badan yang Mitsubishi sendiri tak pernah keluarkan!
Keluarga Wira didatangkan dengan pelbagai pilihan enjin. Bermula daripada enjin 1.3 dan 1.5 liter yang turut digunakan oleh Iswara, enjin 1.6 liter 16 injap dengan sistem pancitan bahan api elektronik dan enjin 1.8 liter DOHC 16 injap. Paling tak disangka, , pilihan enjin diesel 2,000cc! Model ini terus dihasilkan sebelum ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2007.
Pilihan jenis badan dan enjin yang ditawarkan oleh Proton ketika itu amat mengujakan pembeli. Tidak keterlaluan jika saya katakan, era Wira menjadi zaman kegemilangan Proton.
Selepas 20 tahun, keluarga Wira ini masih mampu menarik pembeli oleh kerana harga pasaran terpakainya yang murah. Bagaimanapun, populariti model ini di Malaysia juga membuatkan harga aksesori JDM dan half-cut yang berkaitan dengannya menjadi agak mahal.
Kredit : Mekanika malaysia
No comments:
Post a Comment